fb fb fb fb fb

KPM beri jaminan siasatan menyeluruh kes murid maut di Nilai

Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi seorang murid yang terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, semalam/Foto Bernama

NILAI, 28 September – Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi seorang murid yang terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata laporan lengkap hasil siasatan itu akan dikemukakan segera bagi tindakan lanjut, selain memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

2809 N9 KPM LAPORAN AUDIT SEGERA 2Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek/Foto Bernama

“Di peringkat KPM, kita telah mengadakan audit keselamatan sekolah melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah. Perkara ini sebenarnya sudah dalam jangkauan dan radar jawatankuasa berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga arwah Abdul Fattah Khairul Rizal, murid tahun tiga yang meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam saluran kumbahan sekolah tersebut, pagi semalam.

Dalam pada itu, Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Muhammad Arsyad Jahaya, 35, yang sanggup menyelam ke dalam saluran kumbahan berkenaan untuk mengeluarkan mangsa.

2809 N9 KPM LAPORAN AUDIT SEGERA 3Muhammad Arsyad Jahaya (kiri)/Foto Bernama

Muhammad Arsyad ketika berkongsi pengalaman kejadian itu berkata, beliau bertindak selepas diminta bantuan oleh guru sekolah terbabit.

“Ketika itu saya turun untuk mencari mangsa. Dalam keadaan gelap, saya cuba menyelam dan akhirnya menemui adik Fattah. Syukur, urusan itu dipermudahkan. Waktu saya naikkan arwah ke permukaan, dia sangat ringan untuk diangkat, seolah-olah ada pertolongan malaikat yang membantu saya,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN