KUALA LUMPUR, 28 September - Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), cukup teruja menikmati harga RON95 pada kadar RM 1.99 seliter hari ini dibawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Rata-rata penerima menyifatkan bantuan subsidi petrol RON95 itu cukup bermanfaat, selain mudah dinikmati.
Salah seorang penerima yang ditemui Harida Ghazali berkata bantuan ini amat membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan berkaitan petrol.
"Alhamdulillah, agak bersyukur jugalah dapat subsidi ini. Ia sedikit sebanyak membantu jugalah mengurangkan perbelanjaan petrol untuk bulanan", katanya.
Penerima menyifatkan mekanisme subsidi ini sebagai langkah yang baik dan membantu rakyat khususnya golongan B40 yang memerlukan.
"Pada saya, benda ini baik dan membantu untuk B40, insya-Allah. Sebab senang dan mudah untuk mereka uruskan isi minyak," kata Nor Hisham Mohamad.
Bermula hari ini seramai lima juta penerima STR boleh menikmati BUDI95 pada harga RM1.99 seliter.