fb fb fb fb fb

KPM akan perluaskan konsep SBJK ke negeri-negeri lain

KUALA LUMPUR, 13 April- Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluaskan konsep Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri-negeri lain khususnya di Sabah dan Sarawak bagi memelihara pendidikan kanak-kanak jalanan dan terpinggir.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata SBJK menyediakan pendidikan formal untuk memelihara nasib kanak-kanak yang menghadapi masalah sosial, tanpa dokumen, tercicir dalam pelajaran dan yatim piatu.

Beliau berkata usaha yang dilakukan KPM itu juga adalah untuk membina legasi Pendidikan Manusiawi dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan dan menghasilkan modal insan yang berkualiti.


(Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek)

"Insya-Allah kita melihat dalam jangka masa panjang untuk membuat perluasan kepada konsep sekolah ini di negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak dan mungkin di negeri-negeri lain yang mempunyai isu-isu seperti ini khususnya yang terkait rapat dengan kanak-kanak tanpa dokumen dan golongan rentan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Iftar Santunan Kasih di SBJK di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Tambahnya, konsep pendidikan di sekolah itu tidak mengikut sistem pendidikan arus perdana, sebaliknya mengikut keperluan murid sekolah tersebut yang mengambil kira elemen kasih sayang dan akses kepada pendidikan formal.

Terdahulu, pada majlis tersebut, beliau menyerahkan replika kunci kepada Penolong Kanan Pentadbiran SBJK, Mohd Zafrol Abdullah sebagai simbolik penyerahan bangunan akademik fasa satu sekolah itu.

Media Baharu