(Foto hiasan)
TELUK INTAN, 12 April- Laporan bedah siasat ke atas mayat anggota tentera yang ditemui selepas hilang di Hutan Simpan Belum, Gerik akan diketahui esok.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan pada mangsa.
Terdahulu, mayat lelaki berusia 33 tahun itu ditemui dalam keadaan sempurna berhampiran sungai dalam hutan berkenaan.
(Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri)
"Mayat telah dibawa keluar daripada tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Gerik bagi tujuan bedah siasat.
Perkembangan terkini... mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat, jadi kita masih menunggu bedah siasat mungkin dilakukan pagi esok", katanya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa di Surau Ar Rahman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Anggota dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang itu dilaporkan hilang pada pukul 5.00 petang, Jumaat lalu ketika mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan.