KUANTAN, 9 Julai - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB), tahun ini.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, program itu menyasarkan seramai 835 orang di bawah eKasih untuk menjalani kursus dan diberikan peralatan untuk berniaga.
Ini sekali gus dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan isi rumah.
"Selepas tamat menjalani latihan, peserta diberikan peralatan perniagaan secara percuma mengikut keperluan masing-masing untuk berniaga seterusnya meningkatkan pendapatan keluarga.
"Mereka diberikan ruang untuk menjalani kursus kemahiran dan ini mengikut kesesuaian apa yang mereka mahukan dan mengikut latar belakang.
"Sebab itu di Kuantan sebagai contoh NGO itu telah melaksanakan proses bancian terlebih dahulu untuk memastikan para peserta yang ditawarkan ini sesuai dengan apa yang hendak kita tawarkan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 54 peserta bawah NGO, Wanita Inspirasi Kuantan dari Pahang dan Yayasan Bestari Malaysia dari Terengganu menerima peralatan perniagaan seperti ketuhar, penyejuk (chiller) dan pengadun.
Sebanyak 28 badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik akan memilih peserta berdasarkan proses pencarian dan bancian mengikut kriteria yang telah ditetapkan.