fb fb fb fb fb

KPKT gesa setiap PBT memiliki 'arborist' bertauliah

Datuk Aiman Athirah Sabu

KUALA LUMPUR, 4 November- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan 18 pegawai di 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) ditauliahkan sebagai arborist dan masih aktif berkhidmat sehingga kini

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kesediaan pegawai tersebut bagi memastikan penyelenggaraan pokok-pokok di kawasan perbandaran sentiasa terjaga dan kekal dipelihara dengan baik.

"PBT tidak mempunyai Jabatan atau Unit Landskap yang khusus, fungsi ini dilaksanakan oleh unit teknikal yang berkaitan di PBT.

"Dalam usaha untuk memperkasakan aspek pengurusan dan penyelenggaraan pokok-pokok di kawasan perbandaran negara ini, KPKT amat menggesa supaya setiap PBT mempunyai sekurang-kurangnya seorang arborist yang bertauliah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkenaan tindakan kementerian untuk menambah baik pengurusan landskap di setiap kawasan perbandaran bagi mengurangkan kemalangan berkaitan pokok tumbang.

Athirah turut memaklumkan, Dasar Landskap Negara 2.0 (DLN2.0) juga menjadi keutamaan kementerianya dalam memacu pembangunan dan pengurusan landskap.

Sehubungan itu, program penghijauan negara telah dilaksanakan pihaknya dengan menanam pokok-pokok teduhan bagi menangani impak daripada perubahan iklim.

Dalam pada itu, sidang dewan turut dimaklumkan beberapa langkah telah diambil KPKT dalam menangani isu pokok tumbang boleh merisikokan orang awam.

Antaranya, Program Penilaian dan Rawatan Kawasan Hijau yang memfokuskan pokok ameniti yang berisiko di kawasan pinggiran jalan dan kawasan lapang.

"Sebagai jaminan dan komitmen kementerian, KPKT melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) bersama-sama dengan pihak PBT mengambil langkah waspada dalam menyelenggara pokok-pokok di kawasan perbandaran dengan pematuhan kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172).

"Ia memastikan bahawa mana-mana pokok mempunyai lilitan melebihi 0.8 meter tidak boleh ditebang kecuali dalam keadaan tertentu dengan izin pihak PBT seperti pokok yang hampir mati atau telah mati dan dalam situasi boleh mendatangkan bahaya," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI