KPKM tumpu program R&D perkukuh sektor agromakanan negara

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang teknologi terus diberi tumpuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memperkukuh sektor agromakanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program R&D teknologi terus menjadi tumpuan kementerian untuk memperkukuh sektor agromakanan negara.
  • Penyelidikan melibatkan subsektor padi, buah, sayur, tanaman industri, ternakan dan perikanan.
  • Pencapaian termasuk varieti padi dan kelapa tahan hasil tinggi serta sistem pertanian bersiri dan benih ikan kolektif.
  • Kementerian memperkemas ekosistem teknologi dengan penglibatan awal industri dan komuniti tani; 684 penyelidik berkhidmat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia susulan pelbagai pencapaian signifikan dicapai dalam sektor tersebut hasil program R&D yang dilaksanakan sebelum ini.

Penyelidikan tertumpu kepada pelbagai subsektor, termasuk komuniti penanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman industri serta ternakan dan perikanan.

“Antara pencapaian penting termasuk pembangunan varieti padi dan benih baharu yang berdaya tahan serta selaras dengan keperluan industri benih dan pembiakan tempatan, termasuk varieti Padi MRQ103 Maria, MR326 Kesidang, serta varieti kelapa berhasil tinggi seperti Malayan Brown.

“Selain itu, sistem pertanian bersiri (Resiculating Agriculture System) turut dibangunkan, termasuk pembangunan benih ikan secara kolektif bagi menyokong industri ekokultur negara,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim mengenai kapasiti penyelidikan pertanian negara terkini dari segi trend peruntukan penyelidikan dan pembangunan, bilangan penyelidik dan bidang keutamaan.

Menurut Datuk Seri Mohamad, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui jabatan dan agensi di bawahnya telah memperkemas ekosistem pembinaan teknologi serta menggalakkan penglibatan awal industri dan komuniti tani bagi memastikan teknologi yang dibangunkan praktikal, ekonomik dan mudah digunakan.

Ketika ini, seramai 684 penyelidik sedang berkhidmat di kementerian dan institut-institut penyelidikannya, merangkumi pelbagai peringkat kepakaran, dengan kadar pengisian jawatan mencecah 93 peratus.