fb fb fb fb fb

KPKM sasar RM52.5 juta hasil Jualan Agro MADANI tahun ini

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup

KUCHING, 13 Ogos - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM52.5 juta sepanjang penganjuran program Jualan Agro MADANI di 3,500 lokasi di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program melibatkan 52,500 usahawan itu dijangka memberikan penjimatan sebanyak RM15.75 juta kepada pengguna.

"Melalui kaedah ini, kita dapat bantu rakyat untuk menikmati penjimatan antara 10 peratus hingga 30 peratus. Selain itu, kita juga bantu para usahawan meningkatkan lagi pemasaran produk serta bantu meningkatkan jualan produk dan pengeluaran hasil pertanian tempatan," katanya.

Di Sarawak, FAMA menyasarkan penganjuran 350 program dengan 46 program telah dilaksanakan sehingga bulan lalu melibatkan nilai jualan keseluruhan RM191,062.10.

Arthur berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jualan Agro MADANI Edisi Khas Bulan Kebangsaan di perkarangan Masjid Al-Malik Uni Garden, Kota Samarahan.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, termasuk Happy Hour Sale, Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan dan agihan buah nanas kepada pengunjung.

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri, serta ADUN Stakan Datuk Hamzah Ibrahum.

MASNIZA AWANG KECHIK