PUTRAJAYA, 12 Oktober- Kerajaan tidak menarik atau membatalkan konsesi beras kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang telah dipersetujui selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata konsesi itu turut melibatkan 10 obligasi sosial BERNAS termasuklah menyediakan stok penimbal beras negara.
KPKM turut menegaskan bahawa Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan sedang berjalan melalui kerjasama rentas agensi melibatkan pelbagai agensi.
"Sehingga kini, terdapat dua kilang telah disita dan disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522]."
"Satu aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah dibuat bagi siasatan terperinci," kata kenyataan itu.
Pihak kementerian juga menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai mesej palsu dan menyeru agar perbuatan menyebarkan mesej palsu ini dihentikan.
(FOTO BERNAMA)