KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menggerakkan seramai 175 anggota termasuk 117 pegawai penguat kuasa bagi memantau harga menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan.
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, beberapa inisiatif juga telah dilaksana bagi memastikan bekalan makanan termasuk minyak masak dan ayam mencukupi menjelang perayaan.
Antaranya Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia.
"Kalau di peringkat pasar raya kita benarkan pasar raya untuk buat kawalan secara kendiri. Kawalan kendiri ni sebenarnya untuk memastikan supaya ramai pengguna akan dapat manfaat pada agihan bekalan berkenaan.
"Jadi kita tak nak nanti kalau kita tak ada kawalan kendiri sedemikian ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan bekalan yang begitu banyak sedangkan penggunaan dia tidaklah seperti mana pembelian yang dibuat," kata Saharuddin.
Tambah beliau, orang ramai tidak perlu bimbang tentang bekalan barangan keperluan sepanjang musim perayaan dan boleh mengemukakan aduan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat kekurangan bekalan atau kenaikan harga.