(Anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri
Selangor memeriksa kasut tiruan pelbagai jenama yang dirampas/ Foto BERNAMA)
KLANG, 8 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas kasut tiruan bernilai lebih RM800,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sejati, Klang di bawah tindakan kes melibatkan harta intelek iaitu Akta Cap Dagangan 2019.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata dalam serbuan itu pihaknya menemui ribuan kasut diimport dari luar negara dan disimpan dalam stor rumah kedai yang disewa sindiket sebelum dijual melalui media sosial.
Tindakan operasi itu hasil daripada risikan selama dua minggu yang dilakukan KPDN Selangor.
Asas tindakan adalah berasaskan aduan daripada wakil cap dagang sah atau berdaftar berhubung aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan yang diwakili.
Menurut Mohd Khairi, sitaan dilakukan ke atas beg pelbagai jenama yang terkenal dan akan disimpan serta dikawal di bawah Pengurusan Ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.
(Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin (tengah) menunjukkan
kasut tiruan pelbagai jenama yang dirampas pada sidang media di Taman Sejati,
hari ini/ Foto BERNAMA)
Katanya, menerusi serbuan pada pukul 1 tengah hari itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dipercayai penjaga stor berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
"Untuk makluman ini merupakan kes kedua terbesar selepas kita ambil satu tindakan, kes melibatkan barangan tiruan di Klang pada tahun ini dan untuk makluman juga pada tahun ini, sebanyak 22 kes melibatkan barang tiruan di bawah Akta Cap Dagangan melibatkan nilai rampasan RM1 juta dan ditambah dengan nilai rampasan pada hari ini kita anggarkan lebih kurang dalam RM1.8 juta untuk tahun 2023 melibatkan barang tiruan," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, semua kasut berkenaan dipercayai dijual dengan harga antara RM180 hingga RM400 ringgit sepasang di seluruh negara.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk individu manakala syarikat boleh didenda RM15,000 bagi setiap barangan.