fb fb fb fb fb

KPDN sasar anjur lebih banyak PJR di kawasan DUN

Foto BERNAMA

KUCHING, 9 Februari- Program Jualan Rahmah (PJR) disasar untuk diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara, tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bagi membolehkan lebih ramai rakyat khususnya golongan sasar mendapat manfaat.

Tambahnya, PJR kini diadakan di setiap kawasan Parlimen seluruh negara sebagai salah satu strategi kerajaan menangani kos sara hidup.

Selain pertambahan peruntukan untuk PJR yang ditingkatkan daripada RM150 juta kepada RM200 juta tahun ini, penjadualan PJR juga akan dihebahkan kepada umum lebih awal dan melalui pelbagai platform khususnya portal KPDN dan penjadualan PJR boleh disemak setiap bulan.

“Kalau sebelum ini, makluman itu agak mengejut. Namun, kita telah membuat penjadualan lebih awal dalam tempoh sebulan. Jika rakyat ingin tahun dimana lokasi PJR, boleh lihat di portal KPDN,” kata Armizan dalam sidang media semasa program walkabout di PJR Parlimen Santubong di Mydin Bandar Baru Samariang, di sini.

Program Jualan Rahmah anjuran KPDN itu menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 dan 30 peratus lebih murah daripada harga biasa pasaran tempatan.

Menyentuh mengenai PJR di Sarawak, beliau menjelaskan sepanjang 2023, sebanyak 727 PJR telah laksanakan di 31 kawasan Parlimen dan telah menarik seramai 807,254 pengunjung.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM