KUCHING, 26 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sarawak mengambil tindakan berhubung satu aduan tular mengenai minyak petrol RON95 disyaki bercampur diesel atau air di sebuah stesen minyak di kawasan Samarahan.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, siasatan dijalankan sekitar pukul 2.30 petang oleh sepasukan empat pegawai penguat kuasa KPDN susulan aduan tular yang diterima menerusi laman media sosial.
Hasil pemeriksaan membawa kepada pembukaan satu Kertas Siasatan (Enquiry Paper – EP) di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 berkaitan pelanggaran Seksyen 6(1)(d) akta sama, iaitu kesalahan perihal dagangan palsu berhubung kandungan sesuatu barang.
“Tindakan pantas ini diambil bagi memastikan stesen minyak yang didapati melanggar peraturan ditetapkan dikenakan tindakan sewajarnya, sekali gus melindungi hak dan kepentingan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan penalti berat.
Bagi pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan kedua atau seterusnya.
Manakala bagi individu atau bukan pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan, dan bagi kesalahan berulang denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, KPDN Sarawak menyambut baik kerjasama orang ramai serta agensi lain dalam menyalurkan aduan berkaitan salah laku peniaga, khususnya yang melibatkan barangan keperluan dan kepentingan pengguna.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan melalui saluran WhatsApp 019-848 8000, e-mel