KUALA LUMPUR, 26 Disember - Sebanyak 10 jajahan di Kelantan berisiko dilanda banjir bermula hari ini hingga Selasa susulan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), berdasarkan ramalan awal banjir negeri Kelantan yang dikeluarkan pada 12.30 tengah hari ini, hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku bermula 26 hingga 30 Disember 2025.
Ini sekali gus meningkatkan risiko limpahan sungai di beberapa lembangan utama.
Antara jajahan yang berisiko ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang, melibatkan lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Semerak serta beberapa anak sungai utama lain.
Sementara itu, kawasan di lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Golok dijangka paling terkesan sekiranya hujan lebat berterusan berlaku dalam tempoh berkenaan, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
"Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko, dinasihatkan supaya berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta bersedia menghadapi kemungkinan pemindahan sekiranya keadaan banjir bertambah buruk," menurut kenyataan itu hari ini.
JPS turut menegaskan bahawa banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan bergantung kepada intensiti hujan, dan maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.