MELAKA, 20 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka hari ini tampil menafikan dakwaan harga ayam di Melaka naik sehingga 70 sen.
Menerusi satu kenyataan, KPDN Melaka memaklumkan harga ayam di negeri itu adalah terkawal dan masih mengikut harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.
Justeru, dakwaan harga ayam naik sehingga 70 sen adalah tidak benar.
Menurut Pengarahnya, Norena Jaafar, hasil pemantauan berterusan oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) mendapati rata-rata peniaga masih menjual dengan harga kawalan iaitu RM9.40.
"Malah, terdapat juga premis yang menjual dengan harga serendah RM7.99. Ada juga segelintir peniaga yang mengenakan caj pemotongan ayam antara 30 sen hingga satu ringgit sekilogram,"katanya.
Namun, beliau berkata ia adalah pilihan kepada pengguna.
Setakat ini tiada aduan rasmi berkaitan harga ayam diterima pihaknya.
Pun begitu, Norena memaklumkan, sehingga 19 Oktober 2023 sebanyak 24,543 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang/peladang.
"Selain itu, KPDN Negeri Melaka telah merekodkan sebanyak 1008 aduan rasmi, yang mana secara amnya berkaitan tentang perihal harga.
"Malah, sebanyak 296 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,619,571.85 yang terdiri dari semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN,"katanya.