fb fb fb fb fb

KPDN Kelantan tubuh task force, usaha pulihkan bekalan gula

KOTA BHARU, 3 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan menubuhkan pasukan task force menerusi Ops Manis selama seminggu bermula hari ini.
 
Pengarah KPDN Negeri Kelantan, Azman Ismail berkata, pasukan yang terdiri daripada lebih 130 orang pegawai penguatkuasa itu memberi tumpuan dalam usaha memulihkan bekalan gula, mengelak pembelian panik, bersyarat, menyorok dan menjual melebihi harga di negeri itu.


(Pengarah KPDN Negeri Kelantan, Azman Ismail)
  

Menurut beliau, penduduk di Kelantan dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik berikutan bekalan gula akan pulih dalam masa terdekat.
 
“Kita telah berjaya mengedarkan lebih 250,000 tan metrik ke seluruh negeri Kelantan untuk semua tempat terjejas. Dalam masa yang sama bermula pada 1 Mei, 2 Mei dan sehingga hari ini masih ada bekalan baru masuk.

"Insha-Allah dalam masa mungkin satu hari, dua hari lagi bekalan akan pulih seperti sedia kala”, katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPDN Negeri Kelantan di Kota Bharu.
 
Mengulas lanjut, katanya, bekalan gula di negeri itu terputus adalah berikutan penutupan sementara dua kilang gula di Pulau Pinang dan Johor sempena hari raya Aidilfitri lalu.

Namun, bermula semalam hingga hari ini, lebih 100 tan metrik gula telah dan sedang diterima untuk dihantar kepada tiga hingga empat pemborong besar di Kelantan.
 
Dalam pada itu, Azman berkata, setakat ini, pihaknya menerima 11 aduan rasmi daripada pengguna  termasuk melibatkan kekurangan dan tiada bekalan, peniaga enggan menjual dan gula dijual pada harga yang lebih tinggi dari harga yang ditetapkan.
 
 

Media Baharu