ARAU, 3 Mei- Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menziarahi mangsa kebakaran rumah, Ramli Bakar, di Kampung Pida 3, Semut Gatal, Arau.
Kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 4.00 petang, 1 Mei lalu telah menjejaskan keseluruhan struktur rumah berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Baginda berharap semoga beliau dan keluarga kuat dan tabah untuk mengharungi dugaan di bulan Syawal ini.
Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan sumbangan bantuan awal bencana bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM700.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,700 yang disampaikan oleh Pengarahnya, Ku Chik Ku Md Isa.
(Foto fail)
Pihak MAIPs kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk baik pulih kediaman yang terjejas tertakluk kepada segala garis panduan yang telah ditetapkan.