KPDN Kedah perketat pemantauan sekatan kad asing beli RON95

FOTO KPDN KEDAH

ALOR SETAR, 1 April – Seramai 180 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan berperingkat penggunaan kad kredit dan debit asing untuk pembelian RON95 di pam stesen minyak.
  • Sekatan hanya melibatkan transaksi terus di pam; kad asing masih dibenarkan di kaunter stesen minyak.
  • Sistem bertindak sebagai penapis dan membantu penguatkuasa mengesan pembelian RON95 oleh kenderaan asing serta elak penyalahgunaan subsidi.
  • KPDN perkuat penguatkuasaan melalui Op Tiris 4.0 bersama AKPS, PDRM dan agensi lain; tindakan tegas tanpa toleransi diminta sokongan awam.

Langkah itu susulan pelaksanaan sekatan penggunaan kad kredit dan kad debit asing secara berperingkat bagi pembelian petrol RON95 di semua stesen minyak di seluruh negara, bermula hari ini.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, sekatan berkenaan bertujuan memudahkan pihak stesen minyak serta mengurangkan beban pekerja untuk mengawal pam secara fizikal.

Menurutnya, sistem tersebut berfungsi sebagai penapis selain membantu penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terhadap larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 oleh kenderaan asing.

“Langkah ini juga bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sekatan itu hanya melibatkan transaksi terus di pam, manakala pengguna masih boleh menggunakan kad kredit atau debit asing di kaunter stesen minyak.

Tambahnya, pendekatan itu diharap dapat memperkukuh penguatkuasaan selain mengelakkan sebarang penyalahgunaan subsidi RON95.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata melalui Op Tiris 4.0, KPDN terus memperkukuh kerjasama strategik secara bersepadu dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa lain bagi menutup ruang penyelewengan dan ketirisan.

KPDN turut memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan menyeleweng subsidi negara, sama ada oleh individu atau sindiket, merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

“Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai termasuk pengguna, peniaga dan pihak industri diseru agar bersama-sama menyokong Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) demi manfaat bersama.