fb fb fb fb fb

KPDN benarkan tambahan 30 peratus stok sepanjang Monsun Timur Laut

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali / Foto RTM

KEMAMAN, 5 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membenarkan penambahan sebanyak 30 peratus simpanan stok bahan makanan sepanjang Musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024, dari November hingga Mac tahun depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu melibatkan 1,369 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan 635 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di seluruh negara.

“Setakat ini, di Kemaman sahaja, terdapat 160 DDR dan 74 DDW yang beroperasi. Walaupun hanya empat pemborong telah memohon tambahan stok bekalan, data menunjukkan tiada isu besar mengenai bekalan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih, Kemaman.

Tambahnya, DDR dan DDW memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan barangan keperluan harian sampai ke kawasan yang terjejas banjir.

Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan KPDN melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) akan menyelaras sebarang aduan berkaitan gangguan bekalan makanan dan keperluan harian akibat bencana banjir.

“Sekiranya ada aduan daripada orang awam atau agensi kerajaan, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah, yang memaklumkan terdapat gangguan bekalan atau keperluan tertentu, kita akan menghubungkan mereka dengan DDR dan DDW di kawasan berkenaan,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN