KUALA LUMPUR, 27 Jun – Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad (KOSWIP) menyambut baik saranan agar koperasi memperkukuh penyertaan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pelaburan berimpak tinggi ke arah meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggotanya.
Bersempena ulang tahun ke-100, Pengerusinya Datuk Khairul Walid Mohamed berkata, koperasi akan meluaskan fokus kepada pembangunan kemahiran agar sejajar tuntutan pasaran semasa.
“Menjelang 100 tahun, kita cuba melebarkan sayap dalam bidang-bidang lain. Kita cuba laksanakan pembelajaran TVET untuk melatih anggota kita supaya lebih memandang ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Seminar Perwakilan KOSWIP 2025 di ibu negara.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap saranan Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad agar koperasi meneroka pelaburan antarabangsa melalui kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G).
“KESUMA mahu KOSWIP melangkah lebih jauh, bukan sekadar di dalam Malaysia malah cuba pelaburan-pelaburan di luar negara melalui kerjasama G2G, insya-Allah," katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan kadar pembiayaan serendah 2.9% turut membantu menarik minat keanggotaan baharu dalam kalangan penjawat awam.
KOSWIP yakin langkah ini menjadi permulaan fasa baharu dalam mengangkat koperasi sebagai entiti ekonomi yang lebih progresif.