JAKARTA, 27 Jun- Malaysia-Indonesia menyatakan komitmen untuk menyegerakan penubuhan Joint Development Authority (JDA) di kawasan Ambalat yang dilihat berpotensi besar dalam sektor sumber asli.
Komitmen kedua-dua negara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang khas bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Menurut Datuk Seri Anwar pelaksanaannya penting agar hasil ekonomi dapat dimanfaatkan tanpa perlu menunggu sehingga dua dekad lagi.
“Kita memanfaatkan waktu ini untuk mendapat hasil yang memberi keuntungan kepada kedua-dua negara, serta membela nasib rakyat kita terutamanya yang tinggal di kawasan perbatasan," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan kepada Prabowo atas kesediaan melibatkan pandangan dan kepentingan negeri Sabah dalam rundingan tersebut, sebagai langkah ke arah penyelesaian yang lebih adil dan menyeluruh.
Selain itu, kedua-dua pemimpin menyuarakan keperluan untuk mengoptimumkan potensi perdagangan dan pelaburan yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Datuk Seri Anwar dan Prabowo bersetuju untuk mengambil langkah strategik dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
“Potensi investasi dan dagang kita terlalu besar tetapi kami berdua merasakan kita belum optimakan keupayaan itu sepenuhnya,” kata Perdana Menteri.
Dalam menghadapi cabaran global seperti isu tarif dan sekatan antarabangsa, Malaysia dan Indonesia bertekad untuk memperkukuh kekuatan domestik, bilateral dan serantau menerusi ASEAN.
“Kekuatan ASEAN harus terus dibina dengan semangat kerjasama yang ada dalam kalangan pimpinan rantau ini,” tegas beliau.
Sidang khas ini menandakan permulaan era baharu kerjasama erat antara Malaysia dengan Indonesia demi kesejahteraan bersama, kemakmuran serantau dan kestabilan geopolitik.