KUALA LUMPUR, 27 Jun– Sambutan 100 tahun penubuhan Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad (KOSWIP) bukan sahaja mencerminkan sejarah panjang perjuangan ekonomi anggota kerajaan, malah turut membuka potensi baharu dalam memperkasa bidang ekonomi dan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad menegaskan, kekuatan kewangan dan jumlah keahlian yang besar dalam KOSWIP harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyahut seruan kerajaan ke arah pembangunan negara berkemahiran tinggi serta memperluas aktiviti ekonomi koperasi.
“Saya percaya KOSWIP ini mempunyai peluang yang agak besar dari segi pembangunan ekonomi negara. Kita semua tahu bahawa koperasi juga adalah salah satu penyumbang terbesar dari segi kedudukan kewangan negara termasuklah selain daripada KWSP, perbankan dan pelbagai bentuk koperasi lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perwakilan KOSWIP 2025 di ibu negara.
Menurut beliau, kedudukan kewangan yang kukuh dan keahlian seramai 13,000 orang menjadi asas penting untuk KOSWIP meneroka cabang perniagaan baharu secara terancang dan berintegriti.
“Saya berpendapat bahawa mereka boleh melebarkan sayap supaya mereka melaksanakan lebih banyak lagi dari segi perniagaan lain, mestilah ada pengarah urusan, pegawai kewangan, mesti ada pegawai operasi dan sebagainya kerana melibatkan sesuatu perniagaan yang besar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar warga KOSWIP serta anak-anak ahli diberi keutamaan untuk menyertai latihan kemahiran, sekali gus menggalakkan penglibatan dalam program-program TVET bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Kalau kita nak wujudkan lebih ramai, mungkin daripada ahli koperasi sendiri, bukan hanya sekadar kepada ahli koperasi, tetapi kepada anak koperasi juga diberi keutamaan supaya mereka melangkah lebih jauh,” ujar beliau.
Kekuatan aset, keahlian dan pengalaman KOSWIP meletakkannya pada landasan tepat untuk menjadi pemacu ekonomi komuniti koperasi dan pelengkap kepada agenda kemahiran nasional.