SHAH ALAM, 28 Jun- Konvensyen Wanita Selangor dihadiri kira-kira 1,000 peserta dalam usaha memperkasa wanita selari dengan agenda pembangunan inklusif negeri itu.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli ke program berkenaan turut berkenan menyempurnakan perasmian konvensyen itu di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.
Baginda turut berkenan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan MARDI Corporation Sdn Bhd serta Kiddocare Malaysia.
MoU bersama MardiCorp bakal meneroka potensi kerjasama wanita dalam bidang teknologi pertanian dan produk berasaskan agokomoditi.
Manakala MoU bersama Kiddocare pula akan menyediakan sistem sokongan penjagaan kanak-kanak dengan WBS.
Tengku Permaisuri Selangor yang diiringi Exco Pembangunan Wanita Selangor, Anfaal Sari, kemudian mengunjungi reruai di Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) yang mempamerkan produk komuniti wanita daripada pelbagai latar belakang.
Konvensyen itu menawarkan empat komponen utama iaitu Konvensyen Kerjaya Wanita, Pitching Usahanita Digital, HaSSel dan Sesi Townhall GenZ.