fb fb fb fb fb

Kontrak hadapan emas dijangka diniagakan pada kecenderungan meningkat minggu depan

(Foto AFP)

KUALA LUMPUR, 15 April- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan pada kecenderungan meningkat di antara US$2,000 dengan US$2,050 bagi setiap auns troy minggu depan, menjejaki prestasi niaga hadapan emas di Bursa Komoditi New York (COMEX), kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata kecenderungan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) kepada kadar faedah rendah sepanjang minggu ini dan tanda-tanda inflasi yang semakin reda mempengaruhi dolar AS, justeru menyokong permintaan terhadap logam berharga.

“Emas dijangka bergerak secara mampan melebihi US$2,050 bagi setiap auns troy,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penyelidikan RHB berpandangan pergerakan harga terkini yang meningkat menunjukkan emas COMEX telah mengukuhkan kedudukannya melebihi ambang US$2,000.

“Berdasarkan momentum yang teguh itu, kami menjangkakan satu lagi pusingan meningkat untuk menguji rintangan US$2,100. Dalam pada itu, sekiranya dagangan logam kuning itu akhirnya untuk pengambilan untung, paras US$2,000 akan memberikan sokongan serta-merta.

“Memandangkan momentum kenaikan kukuh kini sedang berlaku, kami mengekalkan kecenderungan dagangan positif tidak berubah,” tambahnya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, kontrak hadapan emas domestik kebanyakannya didagangkan lebih tinggi kecuali pada Isnin, dengan sejumlah 146 lot direkodkan sepanjang minggu.

Berasaskan mingguan, April 2023 meningkat kepada US$2,037.90 setiap auns troy daripada US$2,014.50 setiap auns troy minggu lepas.

Sementara itu, Mei 2023, Jun 2023, Julai 2023 dan Ogos 2023 masing-masing ditutup tinggi pada US$2,047.90 setiap auns troy daripada US$2,025.10 setiap troy auns minggu lepas.

Harga emas fizikal berada pada US$2,048.45 setiap auns troy berdasarkan penetapan selepas tengah hari pada 13 April, 2023 seperti yang diterbitkan oleh Persatuan Pasaran Jongkong London. -BERNAMA

(Foto AFP)

Media Baharu