fb fb fb fb fb

Konsep Keluarga Malaysia releven, diterima rakyat

PUTRAJAYA, 20 Ogos- Konsep Keluarga Malaysia dilihat releven dan diterima rakyat.

Malah semangat kebersamaan itu juga dapat dirasai selepas negara dilanda wabak COVID-19.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob objektif gagasan itu juga tercapai dengan melibatkan penyertaan seluruh anggota masyarakat tanpa ada yang ketinggalan.

"Apabila memberi bantuan saya lihat semua tanpa mengira kaum, tanpa mengira agama, umur, daripada latar belakang, semuanya akan memberikan bantuan dan sebagainya.

"Jadi saya lihat konsep ini sepatutnya kita laksanakan juga dan jadikan sebagai konsep kepada kerajaan kerana kita bekerja, kalau dulu kita panggil kita boleh bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan.

"Jadi bagi saya semangat kekeluargaan ini lebih boleh merapatkan hubungan kita, sebab itulah saya tukar kepada konsep bekerja sebagai satu keluarga," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam temubual khas Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia-Teguh Bersama bersama Perdana Menteri yang disiarkan di saluran RTM, malam ini.

(Ismail Sabri Yaakob)

Dalam temu bual khas itu, Ismail Sabri turut mengakui berdepan pelbagai cabaran sukar sepanjang setahun menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Antaranya, menangani kestabilan politik, selain mengurus keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan akibat pandemik COVID-19.

"Jadi saya faham apabila saya terpaksa menutup ruang mereka untuk mencari makan, saya faham betapa sukarnya untuk hidup kerana untuk menjaga keluarga dan sebagainya.

"Sebab itulah akhirnya kita membuat keputusan, kerajaan belanja begitu besar sekali untuk memastikan mereka masih boleh mampu meneruskan hidup dengan sumbangan dan tanggungan yang diberikan oleh kerajaan.

"Sebab saya tahu kalau kita biarkan mereka tiada pendapatan, anak-anak mereka terkesan dan saya dapat meletakkan diri sebagai anak mereka, yang kalau ibu bapa tiada pendapatan bagaimana untuk menanggung kehidupan keluarga," katanya.

Jelasnya lagi, menstabilkan politik merupakan antara usaha segera yang dilaksana beliau sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos tahun lalu.

Ia antara lain dizahirkan menerusi pemeteraian MOU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan.

Pelaksanaannya memberi banyak kesan positif terutama dalam memacu pemulihan ekonomi negara, seterusnya melindungi kepentingan rakyat.

Media Baharu