fb fb fb fb fb

Sebuah PPS dibuka susulan banjir di Johor Bahru

(Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor membantu memindahkan penduduk terjejas dari lokasi banjir ke PPS)

JOHOR BAHRU, 20 Ogos - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Raya Kampung Melayu Batu Sepuluh, Johor Bahru, pukul 7.00 malam tadi susulan banjir yang berlaku.

PPS menempatkan 26 penduduk terjejas daripada lapan keluarga, dari kawasan Kampung Laut Batu Sepuluh, yang dinaiki air.

Menerusi laporan disediakan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, proses memindahkan penduduk dari lokasi banjir ke PPS sedang giat dijalankan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pihak Kementerian Kesihatan juga terlibat melakukan kerja sanitasi sepanjang PPS beroperasi.


 (Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor membantu memindahkan penduduk terjejas dari lokasi banjir ke PPS)

Antara agensi terlibat adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan RELA.

Terdahulu, sebanyak 200 buah rumah di Kampung Laut Batu Sepuluh dinaiki air setinggi satu meter pada pukul 3.11 minit petang tadi selepas hujan lebat berterusan selama dua jam.

Laporan disediakan APM Johor memaklumkan sistem perparitan tersumbat turut menjadi faktor kepada banjir yang berlaku.

Ketika kejadian, kebanyakan penduduk terjejas telah bergerak ke kawasan yang lebih tinggi manakala penduduk warga emas dibawa keluar oleh anggota APM menggunakan bot.

Media Baharu