fb fb fb fb fb

Konflik Palestin, Belanda hormati pendirian Malaysia - Anwar

Foto Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 1 November- Belanda menghormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin dan bersetuju perlu ada langkah segera untuk menghentikan serangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte.

Anwar mengambil kesempatan menerangkan kepada Rutte tentang erti keperluan mengadakan persefahaman tanpa timbul sikap prasangka, kebencian terhadap kaum lain, warna kulit mahupun Islamofobia.

"Saya tentunya mengambil kesempatan untuk menekankan isu kezaliman pentadbiran kerajaan Israel ke atas rakyat Palestin khususnya di Gaza kerana mereka (Belanda) berkecuali dalam usul di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Saya turut menekankan agar terdapat usaha untuk menjamin keamanan dan menghentikan keganasan serta merta kerana ia membabitkan nyawa rakyat yang tidak berdosa seperti kanak-kanak, wanita dan orang awam.  Serangan tersebut satu kerja biadab dan tidak bertamadun.

"Dia (Rutte) menjawab mengatakan pertamanya, dia setuju supaya ada langkah segerakan dan langkah menghentikan serangan. Dia minta laluan supaya dia terus menghubungi pemerintah Israel dan juga melalui Qatar supaya ada rundingan menghentikan serangan tersebut.

"Keduanya, dia setuju ada langkah tambahan sepertimana dia dapat teruskan melalui Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

"Dia berkata sentimen rakyat Belanda telah berubah, kalau dahulu majoriti mendukung serangan Israel, kini rakyat berkenaan tidak bersetuju tentang serangan berterusan," kata Anwar kepada pemberita di sini.

Jelas Anwar lagi, beliau menghargai Rutte kerana mengambil sikap mendengar serta saling bertukar pandangan dan Pemimpin Belanda itu turut memberi jaminan supaya pandangan Malaysia ini akan dibawa kepada rakan-rakan sejawatnya di Eropah.

Dalam pada itu, Anwar turut mengadakan perbincangan bersama Rutte bagi mempertahankan industri kelapa sawit serta beberapa isu perdagangan dan juga pelaburan yang penting bagi ekonomi negara.

Kedua-dua pemimpin itu turut berbincang akan bekerjasama dalam bidang digital (Artificial Intelligence) dan soal teknologi tinggi termasuk soal mikrocip (semikonduktor).

Tambah Anwar,  Malaysia turut bersetuju melaksanakan usaha penggalian dan pemulihan kapal karam lama termasuk milik Belanda dengan syarat yang ditetapkan. 

Artikel Berkaitan:
Anwar bertemu PM Belanda, bincang hubungan dua hala

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM