SEREMBAN, 1 November - Peniaga di Negeri Sembilan masih mengekalkan harga ayam seperti sebelum ini, iaitu sekitar RM9.40 hingga RM9.90 sekilogram.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan hasil pemantauan mendapati harga yang ditawarkan adalah munasabah selepas melakukan semakan terhadap dokumen tambahan daripada peniaga.
Meskipun harga ayam telah diapungkan bermula hari ini pihaknya mendapati tiada kenaikan secara mendadak berlaku.
"Jadi berdasarkan pemeriksaan dan pemerhatian kita pada hari ini menemui bahawa harga ayam kebanyakkan peniaga masih mengekalkan kepada harga yang dikawal sebelum ini iaitu RM9.40.
"Mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan harga dikekalkan pada yang seperti sebelum ini, antaranya tiada permintaan yang tidak terlalu mendesak dan dilihat kepada maklumat yang kami dapat berdasarkan mengenai bekalan ayam juga bekalan adalah sangat stabil, jadi itu mungkin antara faktor bekalan ayam masih mengekalkan harga RM9.40 hingga hari ini," kata Muhammad Zahir kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Pasar Besar Seremban.
Kadar pengeluaran ayam di Negeri Sembilan adalah 15.4 juta ekor sehari dan ia mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di negeri itu.
KPDN turut menjangkakan kenaikan harga ayam disebabkan beberapa faktor seperti bekalan, permintaan, musim perayaan serta faktor cuaca.
"Kalau boleh biarlah harga RM9.40 hingga RM9.90 sekilogram, jangan lebih lagilah, ini pandangan pak cik lah sebab kalau fikir yang berpendapatan rendah seperti kami ini, salah satunya ayam inilah yang kita nak beri anak-anak kita makan,"peniaga Sharil Rashid.
"Saya rasa tiada masalah sebab harga dah stabil, dulu kerajaan perkenal subsidi ini ketika harga tinggi selepas COVID-19 harga mendadak naik, jadi kerajaan terpaksa perkenalkan subsidi tetapi sekarang harga sudah stabil," kata pesara kerajaan, Muhammad Abdullah.