PUTRAJAYA, 1 November - Tindakan Thailand mengawal pengeksportan gula mentah tidak akan menjejaskan bekalan gula di Malaysia.
Menurut Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, dua syarikat pengilang gula terbesar di Malaysia iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) tidak bergantung kepada bekalan gula mentah dari Thailand.
"Jadi dengan apa yang berlaku di Thailand, kekurangan eksport atau kenaikan gula mentah tidak akan memberi kesan kepada kita kerana kita tidak ambil dari sana", katanya dalam sidang media selepas menjalankan pemantauan harga barangan di sebuah pasar raya di Putrajaya.
Dalam pada itu, Datuk Armizan turut menyatakan negara kini berdepan dengan kenaikan harga gula mentah yang cukup tinggi di peringkat global iaitu sebanyak 52 peratus berbanding tahun 2021.
Walau bagaimanapun, kementerian sedang menjalankan libat urus dengan MSM dan CSR bagi menangani masalah tersebut.
Thailand merupakan pengeluar kedua terbesar di dunia selepas Brazil dan bekalan gula mentah Malaysia diperoleh daripada Brazil sepenuhnya sejak awal tahun ini.