JOHOR BAHRU, 1 November- Pertubuhan kongsi gelap di Johor semakin berleluasa apabila berani merekrut ahli baharu melibatkan pelajar sekolah untuk melakukan aktiviti jenayah seperti mengedar dadah.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya telah mengesan dua kejadian pelajar sekolah menengah dipukul dan direkrut untuk memasuki kumpulan kongsi gelap Hong Hong San dan Ngo Sek Kee.
"Saya menasihatkan guru-guru supaya melaporkan kes kepada pihak polis kerana di sekolah kita ada Pegawai perhubungan sekolah (PPS). Sila gunakan PPS di sekolah ini untuk menyalurkan maklumat. Sasaran kumpulan tersebut adalah pelajar di kawasan bandar," katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, enam lelaki telah ditahan antara 5 hingga 22 Oktober lalu dipercayai terlibat dalam kegiatan rekrut kongsi gelap dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966.
Dalam pada itu, polis mengesan satu video berdurasi 41 saat mengenai kejadian pergaduhan yang tular di laman sosial antara dua kumpulan lelaki di Jalan Marin 10, Taman Marin, Sungai Abong, Muar.
Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca akibat perselisihan faham di Majlis Sambutan Moon Cake Festival di Sungai Abong.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.