fb fb fb fb fb

Peniaga tudung maut dengan 15 tikaman

FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 1 November - Seorang peniaga ditemui maut dengan 15 kesan tikaman dibahagian badan dalam kejadian di Kuala Berang Hulu Terengganu.

Mayat wanita berusia 65 tahun itu ditemukan di dalam longkang berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu kira-kira pukul 3.00 pagi tadi.
 
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata wanita berkenaan dipercayai dilanggar sebelum ditikam menggunakan pisau pemotong daging.
 
Dipercayai suspek bunuh adalah seorang wanita juga rakan kongsi mangsa berusia 35 tahun yang menjalankan perniagaan pakaian serta tudung sejak lima tahun lalu.
 
Sebelum kejadian mangsa dan suspek menaiki kereta dan berlaku pertengkaran sebelum dia dilanggar dan ditikam.
 
"Sebelum kejadian dipercayai kedua-dua mereka ini berjumpa dan membincangkan berkenaan dengan perniagaan dan dalam perbincangan itu telah berlakunya tuduh menuduh diantara mereka berkenaan keuntungan hasil jualan, mangsa dan suspek ini masing-masing tidak berpuas hati dengan hasil pembahagian duit tersebut dan berlakunya pertengkaran dan membawa kepada kejadian bunuh," kata Mazli, di sini.
 
Mengulas lanjut, suspek bertindak melarikan diri dengan menumpang sebuah van sebelum berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang.
 
Susulan kejadian itu sebilah pisau pemotong daging yang dibuang berhampiran rumahnya dirampas.
 
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
 
Kes disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.

TETITIA YUSOFF