fb fb fb fb fb

Hanya 68 premis daripada 1,484 premis jual ayam atas harga siling

Datuk Armizan Mohd Ali ketika melakukan pemantauan harga barangan di sebuah pasar raya di Putrajaya

PUTRAJAYA, 1 November - Hanya 68 premis daripada keseluruhan 1,484 premis didapati menjual ayam pada kadar atas harga siling iaitu RM9.40 yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, harga ayam tertinggi dikesan di Pasar Basah Rompin, Pahang dan Pasar Basah Manir, Terengganu iaitu RM11.00 per kilogram (per kg), manakala paling rendah di Pasaraya Mari-Mari di Mersing, Johor pada kadar RM6.49 per kg.

"Jadi apa yang kita lakukan berdasarkan dapatan ini, selain kita meneruskan pemantauan kita memutuskan untuk melihat secara mikro bagi kawasan-kawasan yang mempunyai jualan atas harga RM9.40.

"Kita lihat daerahnya, lokalitinya dan jenis premisnya sama ada hypermarket, supermarket, mini market, kedai runcit atau pasar basah kerana kita ingin memastikan penguat kuasa kita turun ke premis melihat apa isu sebenar mereka", katanya pada sidang media selepas menjalankan pemantauan harga barangan di sebuah pasar raya di Putrajaya.

Kerajaan sebelum ini telah menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 per kg.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan akan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November, manakala melanjutkan pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.

Penamatan subsidi secara pukal itu bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

ROSLINA BINTI DIN