fb fb fb fb fb

Projek penyelenggaraan tandas sekolah di Negeri Sembilan siap sepenuhnya

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 1 November - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan diarahkan untuk memastikan kawasan sungai dan tali air terutama di beberapa lokasi berisiko banjir berada dalam keadaan baik.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia merupakan salah satu kaedah pencegahan awal yang dapat dilaksanakan menjelang Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November ini.

"Kita minta supaya JPS bersiap sedia, maksudnya hari ini jika kawasan itu kawasan panas, kita lihat apa yang boleh kita segerakan untuk mengelakkan banjir, maksudnya perparitannya, saliran air mestilah dalam keadaan yang baik," Aminuddin bercakap dalam sidang media pada Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri.

Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan sebanyak 81 kawasan di negeri itu dikenal pasti berisiko banjir.

25 kawasan di daerah Seremban, 15 di Port Dickson, 11 Jelebu, masing-masing 10 di Rembau dan Jempol, sembilan Tampin dan sebuah kawasan di Kuala Pilah.

Dalam pada itu Aminuddin memaklumkan projek penyelenggaraan tandas di 169 buah sekolah di Negeri Sembilan berjaya disiapkan sepenuhnya hujung bulan lepas.

Hasil perbincangan dengan Pejabat Pembangunan Negeri kesemua projek yang melibatkan 70 hingga 80 kontraktor itu berjalan dengan baik.

"Kalau ikutkan maklumat yang saya terima bahawa kita capai sasaran tersebut, kita selesai dengan 169 tersebut jadi saya ucapkan tahniah kepada kontraktor di Negeri Sembilan," katanya.

Terdahulu media melaporkan Pejabat Pembangunan Negeri memaklumkan projek itu diselaraskan dan dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri dan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah.

TETITIA YUSOFF