PUTRAJAYA, 1 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Ketibaan Rutte disambut Anwar dan kedua-dua pemimpin itu seterusnya mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belanda.
Pertemuan berkenaan sebagai sebahagian daripada lawatan kerja dua hari Rutte ke Malaysia.
Turut bersama menyambut kunjungan hormat itu adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Semalam, Wisma Putra memaklumkan Anwar dan rakan sejawatannya dijangka menilai semula kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama di dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertukaran budaya, minyak sawit, pertanian, agrikomoditi dan isu Islamofobia serta meneroka bidang-bidang kerjasama baharu.
Kunjungan Rutte bersama delegasi turut diraikan Anwar dengan jamuan makan tengah hari.
Lawatan berkenaan merupakan lawatan kedua Rutte ke Malaysia selepas lawatan sulung pada tahun 2014.