fb fb fb fb fb

Koleksi khas peribadi Raja Permaisuri Agong jadi tarikan utama HKK

(Koleksi batik khas peribadi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah jadi tumpuan Hari Kraf Kebangsaan)

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Hari Kraf Kebangsaan, HKK kembali lagi.

Kali ini, HKK akan mempamerkan koleksi Khas Peribadi hasil sentuhan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ini merupakan tahun kedua pameran solo Tunku Azizah, selepas Pameran Batik Beragi Pahang pada tahun 2020.

HKK tahun ini akan berlangsung esok hingga 7 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dengan tema Sentuhan Permaisuri, Ekplorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura.

Ia pameran kali kedua mengetengahkan batik cantingan tangan dan cetakan blok oleh Seri Paduka baginda menggunakan fabrik krep, sutera dan linen.

(Pengarah Kanan Institut Kraftangan Negara IKN, Abdul Halim Ali)

Menurut Pengarah Kanan Institut Kraftangan Negara (IKN), Abdul Halim Ali, keunikan koleksi Raja Permaisuri Agong adalah reka corak dan teknik batik yang dihasilkan secara eksperimental dan spontan ketika baginda mencanting.

"Kita dapat lihat teknik-teknik yang digunakan oleh Kebawah Duli Tuanku sendiri adalah berlainan di mana kali ini ianya lebih menunjukkan ciri-ciri terperinci dan melalui pengalaman Tuanku sendiri dalam menghasilkan batik, Tuanku melihat ada teknik baharu yang Tuanku rasa boleh diangkat sebagai salah satu identiti batik negeri Pahang,Tuanku lebih cenderung menggunakan identiti Inderapura".

(Yus Faizal Rahim, salah seorang pembatik yang bekerjasama dengan Tunku Azizah)

Sementara itu, usahawan batik Yus Faizal Rahim, yang bertindak sebagai pembantu Tunku Hajah Azizah ketika menghasilkan batik, berkata Seri Paduka baginda amat teliti dan tekun dalam setiap proses pembuatan koleksi tersebut.

"Apa yang saya boleh kongsikan lagi mengenai Tuanku adalah baginda suka buat sendiri daripada A sampai Z jadi kadang-kadang proses mematikan warna juga Tuanku buat sendiri."

"Saya rasa amat bertuah keranan menjadi salah seorang pembatik untuk bersama Tuanku membuat batik," kata Yus Faizal.

Lebih 30 koleksi Khas Peribadi Raja Permaisuri Agong akan dipamer sempena HKK kali ke-19 ini, sekali gus menjadi tarikan utama penganjurannya kali ini.

(Tunku Azizah lebih gemar menghasilkan batik dengan sentuhan peribadi)

Media Baharu