JOHOR BAHRU, 22 Februari- Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan kertas kerja memorandum persefahaman (MOU) berhubung pengambilan dan penempatan pembantu rumah warga Indonesia ke kabinet dalam masa terdekat.
MOU berkenaan antaranya menyentuh isu pengambilan dan perlindunagn pekerja domestik Indonesia.
Menterinya, Datuk Seri M.Saravanan berkata hasil perbincangan kedua-dua negara semalam semua isu berkaitan telah diperhalusi dan diselesaikan secara berhemah.
"Respon memang bagus cuma kita ada beberapa isu yang perlu diatasi, pertama ialah gaji minima, kedua dari segi skop kerja dan yang ketiga memulakan sistem yang sah, ketiga-tiga ini kita telah bersetuju dan saya akan bawa ke kabinet esok.
"Kalau kabinet dah setuju, ia akan dipanjangkan ke Jakarta untuk menentukan tarikh menandatangani MOU," kata M.Saravanan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum PERKESO Usahawan Tekun di Johor Bahru.
Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata negaranya amat komited MOU itu perlu dilaksanakan sepenuhnya sebelum ia dimeterai.