SUNGAI PETANI, 22 Februari- Seorang ahli perniagaan melahirkan rasa kecewa apabila syarikatnya yang memasang kompenan basikal untuk dieksport ke luar negara digunakan penjenayah siber untuk meraih keuntungan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Voltron Malaysia Sdn Bhd, Datuk Tan You Soon berkata kegiatan tersebut disedari pekerjanya minggu lalu, apabila menjumpai iklan jualan basikal milik syarikatnya dijual dengan harga yang murah di media sosial Facebook.
Modus operandi kegiatan itu ialah meminta orang ramai yang membuat pesanan basikal supaya membayar harga basikal itu dengan memasukan sejumlah wang melalui mesin ATM sebelum membuat tuntutan di kilang milik mereka.
Harga yang ditawarkan serendah RM200 hingga RM350 sebuah, mendorong orang ramai membuat tempahan namun hampa apabila datang ke kilang syarikat tersebut dan mengetahui tiada rekod penjualan.
"Saya terpaksa bongkar perkara ini, khuatir lebih ramai orang akan terpedaya dan saya mahu menguar-uarkan kepada orang ramai di luar sana, jangan mudah percaya dengan 'scammer' ini."
"Setiap hari ada sahaja orang datang ke kilang kami untuk ambil basikal yang ditempah dengan 'scammer' tersebut," kata Tan You Soon.
(Kilang Voltron di Sungai Petani saban hari didatangi pembeli yang diminta oleh 'scammer' untuk mengambil basikal selepas membuat pembayaran)
Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Datuk Seri Chen Soo Chye berkata orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk membeli sebarang barangan yang diiklankan di media sosial.
"Kes ini sebenarnya sudah lama berlaku, dan selama ini masih ramai yang percaya."
"Tidak mungkin basikal berharga RM4,000 hingga RM10,00 dijual dengan harga begitu murah sehingga RM300 sahaja, jadi lebih elok datang sendiri ke kilang baru beli, jangan hanya percaya di internet," kata Chen Soo Chye.
Kegiatan tersebut bagaimanapun telah dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP dan seterusnya satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat kegiatan tersebut.
(Perbualan antara mangsa dengan 'scammer' menerusi aplikasi Whatsapp dikongsi pekerja Voltron )