TANJONG MALIM, 5 November-Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh usaha dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa.
Langkah itu diperkasa menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi luar negara.
Usaha itu akan direalisasikan dengan kerjasama dari Universiti Xi'an, China yang bertandang ke UPSI, hari ini.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, UPSI berhasrat untuk meneroka peluang kolaborasi bersama Universiti Xi'an dalam pelbagai bidang khususnya akademik dan pemahaman silang budaya.
“Menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang telah ditandangani dahulu, membuktikan bahawa UPSI komited dalam mengorak langkah lebih jauh bagi merealisasikan penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Pembelajaran Pelajar UPSI-China di Xi’an.
UPSI berharap agar dapat meneroka lebih banyak peluang kerjasama, meningkatkan peluang proses pertukaran pelajar serta meningkatkan projek penyelidikan kolaboratif yang bakal memberi manfaat kepada komuniti.
UPSI menghargai sumbangan dan sokongan dari pihak Universiti Xi'an, melalui bimbingan, semangat serta kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada pihak UPSI bagi merealisasikan inisiatif ini," kata Dr. Md Amin dalam kenyataannya.
Delegasi Universiti Xi'an diketuai Presidennya, Profesor Dr. Chen Gang itu disambut oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar serta Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.
Pertemuan berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI hari ini.
Terdahulu, UPSI telah mengadakan kunjungan ke Universiti Xi'an, China pada 27 hingga 30 Oktober lalu, turut menyasarkan objektif sama terhadap pengukuhan kerjasama antara kedua-dua universiti.