fb fb fb fb fb

Lembaga Zakat Negeri Kedah terima Anugerah Zakat Kebangsaan 2024

Foto RTM

CYBERJAYA, 5 November - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah dianugerahkan Anugerah Zakat Kebangsaan 2024 bagi Kategori Inovasi Terbaik (Kutipan) oleh Kerajaan Persekutuan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar pada Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan Tahun 2024 di sini hari ini.

Menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman, anugerah berkenaan bukan hasil usaha seorang dua tetapi hasil titik peluh seluruh warga kerja LZNK yang menggembleng tenaga memberikan komitmen sepenuhnya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam mengangkat syiar Islam untuk dipandang tinggi oleh semua ummah.

“Terima kasih khusus kepada YB Menteri Agama serta JAWHAR atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Majlis Agama Islam dan Agensi Mengurus Zakat di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, setiap kali menerima anugerah, beliau pasti akan mengimbau kenangan 7 hingga 8 tahun lalu dahulu sewaktu masuk menerajui institusi zakat di Kedah itu.

“Pahit, duka, manis bercampur baur. Bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi Alhamdulillah hari ni LZNK telah bersedia meletakkan benchmark yang sepatutnya dalam mengangkat izzah rukun agama dalam kehidupan umat Islam," tambah beliau.

Mengikut rekod, sebelum ini LZNK pernah mendapat Anugerah Khas Zakat Kebangsaan (Kutipan dan Agihan) pada tahun 2023; Anugerah Inovasi Agihan Terbaik Kebangsaan (Aplikasi Zakat On Touch) pada tahun 2021; Anugerah Inovasi Agihan Terbaik Kebangsaan (Foodbank) pada tahun 2019; serta Anugerah Asnaf Usahawan Kebangsaan juga pada tahun 2019.

Trainee