fb fb fb fb fb

Semakan teliti sebelum beri ubat, pastikan keselamatan pengguna - KKM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 5 November- Anggota kesihatan diingatkan untuk membuat semakan dengan teliti sebelum memberikan ubat manakala pesakit diingatkan untuk mematuhi arahan penggunaan ubat dengan tepat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu bagi memastikan keselamatan pengguna.

"Pemantauan keselamatan amat penting bagi memastikan ubat-ubatan yang berada di pasaran terus selamat untuk digunakan.

"Semua laporan kesan sampingan yang diterima akan dianalisis untuk mengesan risiko keselamatan ubat-ubatan seperti kesan advers baharu atau pengemaskinian ke atas cara penggunaan sesuatu ubat," menurut kenyataan itu.

Di Malaysia, semua laporan kesan sampingan ubat-ubatan dikumpul menggunakan Sistem Pelaporan Kesan Advers NPRA.

Semua laporan akan dinilai dan dikaji oleh NPRA supaya tindakan bersesuaian dapat diambil termasuk sebarang tindakan regulatori bagi memastikan pengguna terus mendapat manfaat daripada penggunaan ubat-ubatan.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan KKM bersempena dengan kempen #MedSafetyWeek, iaitu Minggu Keselamatan Ubat-Ubatan anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kali ke-9 dari 4 hingga 10 November ini.

Kempen peringkat global itu melibatkan 101 organisasi di 90 buah negara.

Dalam pada itu anggota kesihatan, malah pengguna sendiri, boleh melaporkan kesan sampingan kepada NPRA melalui beberapa saluran.

Bagi anggota kesihatan laporan boleh disalurkan melalui Sistem Maklumat Farmasi Hospital (PhIS), borang dalam talian menerusi portal NPRA atau mengisi borang secara manual dan hantar kepada NPRA melalui e-mel fv@Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau pos.

Sementara itu bagi pengguna, laporan boleh diisi menerusi Consumer Side Effect Reporting Form (ConSERF) di laman web NPRA atau menghantar secara manual melalui alamat e-mel yang sama atau secara pos.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI