fb fb fb fb fb

Klinik Kesihatan Kuala Kedah ditutup sementara akibat kebocoran gas dari kilang berhampiran

(FOTO RTM KEDAH)

ALOR SETAR, 3 Oktober - Operasi dan perkhidmatan Klinik Kesihatan Kuala Kedah di tutup sementara pagi ini susulan kebocoran gas berbahaya dari kilang ais berhampiran klinik berkenaan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail mengesahkan penutupan sementara klinik berkenaan melalui hantaran di aplikasi whatsapp kepada RTM.

Kejadian dipercayai disedari seawal pukul 7 pagi tadi.

(FOTO RTM KEDAH)

Tinjauan RTM yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati beberapa jururawat dan petugas kesihatan yang mengalami pening dan loya dipindahkan ke tempat selamat untuk mendapatkan rawatan.

"Klinik Kesihatan Kuala Kedah ditutup berikutan terdapat kemungkinan kebocoran gas berbahaya dari kilang ais yang terletak bersebelahan dengan klinik," kata kenyataan yang dikeluarkan pusat kesihatan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah meminta pesakit dan penduduk tidak berada di kawasan berhampiran sehingga mendapat pelepasan dari pihak bomba.

Orang ramai yang mempunyai tanda-tanda sesak nafas atau perlu rawatan kecemasan boleh mendapatkan rawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Media Baharu