KUCHING, 15 Jun- Sebuah klinik kecantikan di Kuching telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM150,000 pada Khamis.
Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara MTPN Sarawak Wynson Ong Teck Ping berkata tindakan diambil oleh pihak berkuasa berikutan pengoperasian tanpa lesen dan pelanggaran peraturan kesihatan yang ditetapkan.
Beliau menerusi satu kenyataan media memaklumkan, kes tersebut mendapat perhatian serius daripada MTPN Sarawak dan terlibat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia KKM dalam pemantauan selama dua tahun.
Beliau mendedahkan doktor yang mengendalikan klinik kecantikan berkenaan pernah terlibat dalam kes terdahulu membabitkan kesalahan serupa pada tahun 2017.
“Ini menunjukkan satu pola ketidakpatuhan yang berulang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan pengguna.
“Pihak MTPN Sarawak turut memaklumkan hasil pemantauan mendapati masih banyak klinik kecantikan yang beroperasi tanpa lesen sah di negeri ini, “ jelasnya.
Menurutnya lagi, MTPN Sarawak menerima beberapa aduan daripada pengguna berkaitan isu klinik kecantikan tidak berlesen.
Namun begitu, ramai pengadu enggan tampil ke hadapan kerana berasa malu dan menganggap perkara tersebut tidak wajar diketengahkan.
Beliau menegaskan bahawa setiap aduan pengguna adalah penting dan harus disuarakan demi keselamatan serta kepentingan bersama.
Wynson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan terhadap status pendaftaran dan kelulusan mana-mana klinik kecantikan sebelum mendapatkan perkhidmatan
Sebarang aduan boleh dikemukakan kepada pihak MTPN Sarawak melalui 017-7109299.