KAPIT, 15 Jun- Prosedur dalam permohonan dan penyaluran geran kerajaan perlu dipatuhi sebagai langkah tatakelola baik dalam pengurusan kewangan negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pematuhan prosedur bukan bertujuan menyusahkan pemohon, tetapi bagi memastikan penyaluran dana dibuat secara telus serta mengelakkan penyelewengan dana awam, sama ada oleh wakil rakyat mahupun penerima.
Jelasnya, setiap permohonan geran perlu disertakan dengan surat rasmi daripada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai rekod rasmi.
“Penerima dana juga diminta menyediakan laporan ringkas mengenai penggunaan dana tersebut untuk diserahkan kepada Pusat Khidmat Parlimen.
“Penerangan ini penting agar kita faham prosedur bagaimana dana kerajaan dimohon dan bagaimana ia dibelanjakan. Jadi apabila dana sudah sampai, ada kaedahnya untuk membuat laporan. Tidak perlu laporan terlalu terperinci, cukup dengan laporan mudah.” Katanya
Datuk Seri Alexander berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Cek Kawasan Parlimen Kapit yang berlangsung di sebuah hotel di Kapit pagi tadi.
Sebanyak RM654,000 disalurkan kepada 40 organisasi terdiri daripada persatuan, NGO dan JKKK di sekitar Parlimen Kapit.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menegaskan, penyaluran dana kepada rakyat merupakan tanggungjawab wakil rakyat dalam menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
Beliau turut menyeru agar dana yang diterima digunakan secara berhemah dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.