KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kementerian Pengangkutan mengambil maklum satu laporan kaji selidik yang menyatakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah lapangan terbang kelapan terburuk di Asia.
Menterinya, Anthony Loke berkata beliau melihat perkara tersebut daripada sudut pandang positif.
"Kita perlu menambah baik usaha melaksanakan beberapa penambahbaikan agar KLIA mampu menjadi kebanggaan negara.
"Apa-apa pandangan itu kita ambil sebagai rujukan dan iktibar.
"Kita tidak boleh mengambil satu 'survey' itu ataupun satu pandangan itu sebagai satu kesimpulan sebenar.
"Kita tahu bahawa ada kelemahan dalam terminal satu kita, ada kekurangan di lapangan terbang kita. kita nak tambah baik dan kita akan cuba membuat seberapa yang boleh," katanya kepada pemberita di sini.
Jelas Loke, terdapat dua projek besar yang diusahakan di KLIA seperti 'aerotrain' yang sedang dibaik pulih dan dijangka siap penghujung tahun ini serta sistem pengendalian bagasi yang sedang diperbaiki dan dijangka mengambil masa setahun hingga dua tahun.