fb fb fb fb fb

KKR komited kurangkan kesesakan sepanjang projek penyuraian trafik Juru–Sungai Dua

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

SEBERANG JAYA, 8 November -Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan bahawa pelan pengurusan trafik yang teliti akan dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bertujuan meminimumkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar sepanjang tempoh pembinaan projek berkenaan.

Projek itu merangkumi pembinaan laluan terus dari Plaza Tol Juru ke Plaza Tol Sungai Dua, jalan susur baharu dari Perai ke Juru serta jalan susur bertingkat baharu di Jalan Tun Hussein.

Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan kerja-kerja naik taraf Persimpangan Juru Utara (Auto City) dan Persimpangan Timur-Barat.

"Kementerian Kerja Raya dan PLUS Malaysia Berhad akan memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual bagi mengekang 
sebarang ketirisan dan pembaziran sumber. Di sinilah peranan profesion teknikal kita amat penting di mana kita perlu mengaplikasi teknologi moden dalam pengurusan projek yang berkesan dan setanding dengan piawaian antarabangsa," katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik Antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Tapak Expo Seberang Jaya.

Projek bernilai RM3 bilion dijadual siap dalam tempoh 48 bulan dan dijangka akan mengurangkan kesesakan trafik dengan 30 peratus daripada pengguna akan beralih ke laluan terus Juru-Sungai Dua yang disediakan.

Selain, mampu memendekkan perjalanan daripada satu jam kepada 20 minit ketika waktu puncak.

TETITIA YUSOFF