fb fb fb fb fb

KKR harap projek lebarkan tiga jalan di Johor dilaksana tahun depan

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

PONTIAN, 19 April- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menghantar permohonan projek tambahan bagi melebarkan jalan raya di tiga kawasan di Johor iaitu Pontian, Kulai dan Simpang Renggam.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pembesaran jalan itu melibatkan simpang tiga Ayer Baloi hingga Sedenak, simpang empat Benut ke tol Simpang Renggam dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian ke Tampok.

"Tiga jalan itu akan mengubah landskap tiga kawasan Kulai, Simpang Renggam dan juga Pontian. Saya tidak kata kemudahan itu bukan hanya untuk kami di Pontian, tetapi untuk Simpang Renggam dan juga Kulai.  Kita telah menghantar ketiga-tiga projek itu ke Kementerian Kewangan dan kita harap tahun depan boleh dilaksanakan," katanya.

Ahmad ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata keputusan kerajaan untuk memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bertujuan menjaga kebajikan rakyat kawasan Parlimen terbabit.

"Berhubung isu peruntukan kepada pembangkang, saya pulangkan keputusan berkenaan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi sekadar ingin memaklumkan, pada ketika kami menjadi pembangkang selama 22 bulan, kami cuma diberi RM100,000. Kalau mereka (pembangkang) dapat RM100,000 juga boleh.

Beliau berkata rakyat dan pengundi di setiap kawasan Parlimen tetap dilindungi dan tidak pernah dikecualikan daripada menerima sumbangan daripada kerajaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI