fb fb fb fb fb

KKR bangunkan pusat informasi dan data analitik sektor pembinaan

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Kementerian Kerja Raya (KKR) membangunkan Pusat Informasi dan Data Analitik Sektor Pembinaan Nasional (NCIP) bagi memperkasa penyampaian perkhidmatannya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, NCIP merupakan platform bagi mengumpulkan data raya, dokumen perundangan dan peraturan sektor pembinaan.

Beliau menyifatkan pembangunan sistem itu selaras usaha menyokong inisiatif transformasi negara ke arah pendigitalan sekali gus, meningkatkan keupayaan kerajaan dalam membuat keputusan berasaskan fakta dan data.

"Data yang penting dikumpulkan dan disimpan dalam sistem ini dan kegunaannya adalah untuk maklumat ini dianalisis untuk digunakan oleh mana-mana pihak memerlukan.

"Jadi ini penting, ia salah satu usaha dalam kerajaan pendigitalan termasuklah industri pembinaan di Kementerian Kerja Raya ini sebab itu agensi itu adalah bersama-sama CIDB, LLM," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra-Pelancaran Pusat Informasi dan Data Analitik Sektor Pembinaan Naional di ibu negara.

Beliau juga menambah sistem berkenaan akan memperkukuh dan mengawal selia pengurusan pengeluaran dokumen rasmi KKR dan menjadi sumber rujukan.

Sehingga semalam, kira-kira 739 dokumen rasmi perundangan dan peraturan telah dimuat naik dalam sistem tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI