KUALA LUMPUR, 18 November - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi musim monsun yang lazimnya bermula setiap kali menjelang November.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian itu membuat persediaan rapi susulan jangkaan hujan lebat dan kemungkinan banjir di beberapa kawasan berisiko tinggi, bagi memastikan koordinasi lebih efisien.
"Sebenarnya, esok (19 November) saya menjemput beberapa Ahli Parlimen untuk melawat pusat operasi yang kita panggil Big Ben atau Bilik Gerakan Bencana. Di situ, kita mempunyai sistem yang agak canggih untuk memantau keadaan.
"Walaupun ia belum benar-benar masa nyata, tetapi hampir masa nyata. Oleh itu, kita lebih yakin untuk membuat persediaan dengan lebih berkesan apabila menerima maklumat atau menghadapi sebarang kejadian hujan lebat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan dokumen Policies and Procedures for the Procurement of Architectural Services sebagai satu garis panduan utama bagi memperkukuh profesion seni bina negara di ibu negara.
Dokumen tersebut, dilihat sebagai rujukan penting untuk memastikan industri seni bina Malaysia kekal kompetitif di peringkat global dan relevan di peringkat tempatan.
Dokumen berkenaan bukan sahaja bermanfaat kepada pemain industri, malah boleh digunakan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai rujukan akademik dan latihan.
Dengan adanya teknologi moden dan pengunaan AI kementerian akan memberi respon apabila berlaku bencana seperti tanah runtuh dan banjir khususnya pada musim monsun. Pengunaan Big Ben akan dikongsi bersama agensi penyelamat lain.
