fb fb fb fb fb

KKOM panggil empat entiti nilai semula kerangka perundangan jenayah siber

KANGAR, 23 Ogos - Jalinan kerjasama agensi berkaitan keselamatan siber perlu diperkukuh bagi menangani ancaman jenayah siber yang semakin licik memanipulasi sistem ekonomi digital walaupun keselamatan siber sentiasa dinaik taraf.

Oleh itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memanggil empat entiti di bawah kementerian tersebut seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Cyber Security Malaysia (Cyber Security) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi membincangkan isu keselamatan siber secara holistik minggu depan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ahli lembaga pengarah empat entiti di bawah kementerian itu perlu menggembleng tenaga bagi menangani ancaman jenayah siber

"Ini adalah empat entiti di bawah kementerian yang saya rasakan perlu menggembleng tenaga dan melihat secara keseluruhan kerana kita mahu melihat satu pendekatan yang lebih proaktif dan berkesan,"

"Keselamatan siber atau cyber security ini tidak hanya menjadi tanggungjawab agensi di bawah KKOM malah sebenarnya sekuriti siber itu mempunyai badan induk yang bertanggungjawab terhadapnya iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan penyiasatan bagi jenayah ini pula dilakukan oleh polis.

"Oleh hal demikian, mengapa saya saya ingin bertemu agensi ini adalah berkongsi dengan mereka dan membuat gesaan supaya kita perlu cari beberapa pendekatan 'luar kotak'. Malah saya ingin dapatkan 'feedback' sama ada 'legal framework' sekarang ini memadai atau tidak.

"Selain perundangan, satu aspek lain adalah penggunaan teknologi yang boleh digunakan dan ketiga pula adalah kerjasama antara pelbagai agensi yang boleh diperkasakan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

(Majlis Pelancaran Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra yang dirasmikan oleh
Tuanku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
/FOTO FACEBOOK Kementerian Komunikasi dan Multimedia)

Katanya, selain strategi keselamatan siber Malaysia 2020-2024 yang dilancar dalam kerangka Program Pemerdayaan Keselamatan CYBER (SiberKASA), kerjasama erat antara agensi berkaitan amat perlu untuk menangani isu tersebut.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas apakah tindakan kementerian bagi menangani isu kehilangan wang simpanan pengguna di institusi kewangan kebelakangan ini.

Media Baharu