fb fb fb fb fb

KKMM akan wujudkan sistem amaran awal bencana pastikan maklumat penting disalurkan lebih cepat dan tepat

KUALA LUMPUR, 6 Januari- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mewujudkan pasukan tindakan khas bagi menggubal sistem komunikasi yang lebih berkesan, seterusnya mewujudkan sistem amaran awal bencana yang lebih pantas dan berkesan kepada rakyat.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sistem komunikasi itu tidak hanya tertakluk kepada agensi bawah KKMM sahaja tetapi melibatkan kerjasama beberapa agensi berkaitan yang lain.

Beliau juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Muhammad Mantek untuk berbincang dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan sistem amaran awal bencana yang terbaik.

Antaranya Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jawatankuasa Bencana Peringkat Negeri, Kerajaan Tempatan dan Agensi penyelamat.

"Satu task force (pasukan tindakan khas) untuk menggubal sistem komunikasi yang lebih berkesan dan mewujudkan sistem amaran awal. Jawatankuasa akan menilai kaedah yang terbaik sebab yang kita nampak adalah sekarang ini mungkin kaedah media sosial boleh menyokong sistem itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KKMM di Angkasapuri hari ini.

Jelasnya sistem itu diperlukan untuk memastikan sumber maklumat yang hendak disampaikan perlu tepat, cepat dan paling penting boleh dipercayai.

"Penyampaian maklumat oleh sistem komunikasi juga perlu lebih bertumpu dan spesifik termasuk menggunakan konsep Sistem Pesanan Ringkas (SMS) supaya kawasan berisiko mendapat amaran awal secara cepat dan tepat," katanya.

Media Baharu